Saturday, October 16, 2010

Inspirasi dari Rocky 3 (1982)

Pada tahun 1983 menduduki peperiksaan SRP atau Sijil Rendah Pelajaran Malaysia. Cabaran saya yang paling besar adalah saya dapati saya tidak dapat menguasai matematik moden dengan baik. Keputusan ujian saya hanyalah sederhana sahaja. Disebabkan pada waktu itu saya dikira kumpulan pelajar harapan bagi SRP sekolah saya maka saya mendapat tekanan dari banyak pihak.

Pertama dari guru matematik saya, Cikgu Dominic, yang kemudiannya memberitahu datuk saya yang merupakan penjaga saya sejak bayi lagi dan yang tentunya begitu mengharapkan saya cemerlang dalam SRP saya namun pada ketika itu saya lost dan tak tahu nak buat macamana.

Datuk saya menghubungi guru sekolah rendah saya yang pernah menjadi guru kelas saya sewaktu saya di dalam Darjah 5, Cikgu Aziz Sidek. Di sinilah bermulanya saya menjumpai inspirasi saya dan inspirasi itu sebenarnya di dalam dirinya dan sehingga kini saya kagumi dan apa ketahui dan pelajari sepanjang saya di bimbing beliau saya hargai sehingga kini.

Cikgu Aziz Sidek pada ketika itu hanyalah seorang cikgu sekolah rendah. Sejauh yang saya kenali beliau adalah sorang guru Bahasa Malaysia yang handal tapi bukan itu sahaja, beliau juga guru yang boleh mengajar matematik dengan baik sekali. Bila dia mengajar saya sesuatu subjek, saya sukar untuk mengatakan kepadanya yang saya tidak faham. Ini adalah kerana cara dia menyampaikan sesuatu konsep dan pengajaran begitu mudah saya fahami. Jadi saya menyoal diri sendiri, perkara yang diajarkan sama tetapi mengapa dengan dia saya lebih mudah faham. Persoalan saya jawab sendiri melalui pengalaman saya berguru dengan beliau.

Rahsianya adalah cara atau metod. Semua orang ada cara yang tersendiri mereka di dalam menyampaikan sesuatu ilmu kepada kumpulan sasarannya. Cara itulah yang menentukan bahawa kita lebih fasih, lebih bijak dan lebih menguasai ilmu yang kita pelajari.

Saya kagum dengan Cikgu Aziz lagi kerana dia seorang guru sekolah rendah sahaja, tapi beliau masih berusaha untuk belajar untuk melanjutkan pelajarannya ke universiti secara luar kampus. Dia banyak membaca dan oleh kerana itu dia boleh berkongsi pelbagai info baru atau yang berkaitan dengan murid-murid bimbingannya. Ada guru pula yang saya perasan tidak pernah berkongsi sesuatu dari pembacaannya kecuali dari dan berkaitan dengan buku teks pelajaran yang diajarnya.

Beliau juga adalah seorang yang suka memetik kata-kata (quotation) orang-orang ternama. Yang saya paling ingat sekali adalah "ask not what your country can do for you; ask what you can do for your country." Inilah orang yang kedua selepas datuk saya yang suka quote kata-kata pujangga. Saya rasa inspired dan di dalam hati saya saya ingin jadi macam dia. Saya tidak tahu bagaimana tetapi saya ingin jadi macam dia, itulah tekad saya.

Sewaktu saya belajar dengan Cikgu Aziz saya menyertai kelas tuisyennya yang sewaktu itu berhampiran dengan sekolah. Di sebelah kelas tuisyen tersebut adalah sebuah pawagam. Suatu hari saya tergerak ingin menonton wayang. Kali terakhir saya menonton wayang di pawagam itu adalah bersama emak saudara saya iaitu cerita"Ben Hur" yang dilakonkan oleh Charlton Heston. Satu cerita yang panjang lebih 2 jam dan sekiranya orang yang menonton itu tidak minat sejarah dan kurang penguasaan bahasa Inggerisnya maka mungkin tertidur atau dilanda perasaan bosan yang amat sangat.

Cerita yang saya pilih untuk tonton pada ketika itu adalah Rocky 3(1982). Ini adalah pelakonnya Sylvester Stallone dan saya pernah menonton lakonannya dalam dalam video First Blood (1982) yang ditayangkan di sekolah menengah saya pada tahun yang sama. Cerita tersbeut juga begitu meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup saya. Saya akan kupas cerita ini kemudian. Sekarang saya terangkan dulu tentang Rocky 3 dan kaitannya dengan masalah matematik saya.

Rocky 3 mengisahkan Rocky adalah seorang juara tinju dunia yang setelah dia memenangi kejuaraan kali pertamanya telah berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut sebanyak 10 kali berturut dalam masa 3 tahun. Apa yang diketahuinya sebelum dia bertarung dan kemudiannya dikalahkan dengan mudah oleh pencabarnya Clubber Lang adalah jurulatihnya Mickey telah berjaya merancang setiap perlawanan yang ditempuhi Rocky sepanjang kerjaya dia mempertahankan kejuaraan adalah dengan menentang pencabar-pencabar yang mudah dan tidak setanding dengannya.

Bila dia berada di puncak kejayaannya, dia sudah di tahap over- confident dan apabila dia diberitahu bahawa pencabarnya (Clubber Lang) tidak semudah pencabar-pencabarnya yang sebelumnya oleh jurulatihnya Mickey, dia terperanjat dan bertanya mengapa Mickey melakukan semua itu.

Mickey menjelaskan bahawa sewatu pertarungan untuk mendapat kejuaraan yang pertama kali dimenanginya (Rocky 2) dia telah menerima kecederaan yang teruk dan sepatutnya dia tidak boleh lagi bertinju selepas itu, namun entah bagaimana dia masih lagi mampu untuk terus bertinju. Maka Mickey mengatakan bahawa sebagai seorang jurulatih adalah tanggungjawab dia untuk mengatur perlawanan yang sesuai untuk Rocky setelah itu agar keyakinan diri dan kesihatannya sentiasa melambangkan dirinya seorang juara.

Mickey juga ada menyatakan suatu yang sangat penting di sini tentang situasi sesiapa sahaja yang menjadi juara dan saya petik kata-katanya seperti berikut:

Mickey: Well, Rock, let's put it this way. Now, three years ago you was supernatural. You was hard and you was nasty and you had this cast-iron jaw but then the worst thing happened to you, that could happen to any fighter. You got civilized. But don't worry kid. You know, presidents retire, horses retire, Man-o-war retired. They put him out to stud. That's what you should've done, retired.

Rocky Balboa: I can't retire knowing all this, Mick.

Apa yang Mickey tegaskan adalah apabila seseorang itu menjadi juara, dia akan mula merasa selesa dan selamat. Seterusnya dengan habuan (kekayaan) yang diterimanya dia mula memanjakan dirinya dengan kesenangan yang lama kelamaan akan mengikis jati diri dan daya juangnya yang dahulu menjadikan dia seorang juara. Dia mula lupa bahawa kesukaran dan cabaran itu perlu untuk seseorang itu kekal hebat dan kuat semangat. Tanpa kesukaran dan cabaran seseorang yang hebat akan menjadi seorang yang biasa sahaja.

Jadi apakah kaitannya Rocky 3 ini dengan SRP saya? Jawapannya adalah INSPIRASI. Ia menginspirasikan saya untuk memilih untuk belajar lebih gigih dan belajar dengan mereka yang boleh membantu saya tidak kira siapa dan mengamalkan disiplin belajar dan ulangkaji yang saya tidak lakukan selama ini. Saya akan lakukannya kerana saya pilih untuk lakukannya. Saya sedar ia susah, namun saya pilih untuk lakukanya juga dan saya akan berusaha untuk tetap lakukannya juga untuk mencapai matlamat saya iaitu saya mesti mendapat markah setinggi mungkin bagi subjek matematik moden dalam SRP saya.

Akhirnya saya mendapat C3 untuk matematik moden di dalam peperiksaan SRP saya, walau pun tidak mendapat A2 atau A1, saya cukup puas hati kerana saya tidak lagi mendapat F7 seperti asalnya.

Penghargaan yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Cikgu Aziz Sidek. Di akhir lawatan saya bertemu beliau pada tahun 2008 dahulu, beliau kena stroke. Alhamdulillah walaupun dalam keadaan begitu beliau masih boleh kenal saya dan boleh menuturkan sebahagian nama saya lagi walaupun beliau tidak mampu bercakap lagi. "Man..." katanya sambil tersenyum dan terlihat oleh saya akan airmatanya yang berlinangan melihat saya datang melawatnya. Dan saya datang bersama Cikgu Jamal, guru kelas saya sewaktu Darjah 4 yang juga kawan baik Cikgu Aziz.

Buku ini adalah dedikasi kepada Cikgu Aziz Sidek khasnya semoga kebaikannya kepada saya khasnya dan kepada anak-anak muridnya yang lain akan membantu beliau sembuh dari serangan stroke kali kedua ini. Seorang yang kuat semangat akan terus kuat menentang arus kehidupan, itu saya percaya. Terima kasih Cikgu.

No comments: